Episod 3 : makan angin kampung??




Berjalan,bermusafirlah
melihat kebesaran tuhan
yang diciptakan untuk
mereka yang berfikir
dan bersyukur di atas nikmat
dan kurnianya
nilai harganya,iman dan taqwa
bagi hamba yang setia
(lagu : hikmah kembara - Mirwana)



Burung-burung berkicauan mencari makanan untuk anaknya. Angin bayu menampar lembut pohon yang tumbuh meninggi. Suasana pagi itu di Kampung Chroy Meantrey sangat mendamaikan jiwa. Aku dan rakan-rakan yang lain telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas yang diamanahkan. Separuh daripada kami membantu dr. Dinon menguruskan budak-budak yang berkhatan. Selebihnya termasuk aku meluangkan masa bersama anak-anak kampung. Kami menjalankan pelbagai aktiviti seperti berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. beramai-ramai, bernasyid, berzikir, mewarna dan tontonan video. Aktiviti dijalankan sejak dari pagi hinggalah matahari tercacak di atas kepala. Hari ini sungguh meletihkan bagiku. Mana tidaknya, sejak awal kami terpaksa mengawal kelakuan anak-anak yang tiduk kurang nakalnya. Tambahan masalah komunikasi menyebabkan kami sukar mengawal keadaan. Untung ada Amira, juru alih bahasa kami serta sahabatnya, Fini yang pernah menetap beberapa tahun di Malaysia. Tidak hairanlah lenggok pertuturannya sangat senang difahami kami.

Waktu rehat kami isi untuk bersiar-siar di kawasan kampung sambal mengutip buah kelapa sebagai bahan modul kami untuk aktiviti seterusnya. Dengan bantuan Fini dan Amirah, kami berjaya mengumpulkan beberapa biji buah kelapa walaupun di awal pencarian agak sukar untuk menjumpainya. Selesai proses mancari buah kelapa, kami dibawa melawat ke rumah keluarga Fini. Kami disambut dengan senyuman oleh keluarga Fini. Walaupun agak sukar untuk berkomunikasi, tetapi kami dilayan baik oleh mereka sebagai saudara seagama. Itulah keindahan Islam. Walau di mana kita berada, agama Islam dapat menyatukan umat manusia tanpa memikirkan perbezaan warna kulit, bahasa dan budaya. Kami dijamu dengan buah mempelam yang sangat sedap. “Rugi kalau tak merasa buah mempelam yang sangat sedap sedap ni!!” seloroh Fini kepada kami. Tentulah kami tidak mahu untuk melepaskan peluang keemasan ini. Bak kata orang tua –tua zaman dahulu, rezeki jangan ditolak, musuh jangan di cari. Selepas melawat keluarga Fini, kami dibawa melawat ke rumah keluarga Amirah. Walaupun kami agak keberatan melihatkan keletihan yang terserlah di wajah masing-masing, namun untuk tidak menghampakan Fini yang sangat bersunguh-sungguh mengajak kami ke rumah Amirah, kami gagahkan jua kaki kami untuk melangkah.

Bila melawat ke kampung itu, rasa insaf terbit di hati. Alangkah sederhana kehidupan mereka. Tanpa bekalan air yang bersih, tanpa bekalan elektrik yang tetap dan tanpa bekalan makanan yang berkhasiat, mereka tetap mampu untuk tersenyum dalam meneruskan kehidupan di bumi yang fana ini. Mereka boleh hidup dengan gembira walaupun kemiskinan menyelimuti kehidupan mereka. Inilah coretan kehidupan di bumi Kemboja.

No comments:

Post a Comment

-saya salah? sila betulkan dengan beri komen yang bernas
-saya betul? sila bagi semangat kat saya, huhu
-saya nak tahu apa yang otak kamu sedang fikirkan :P