Episod 2 : Terapung di Sungai Mekong





Hari pertama di Kampong Chroy Meantrey, kami disambut dengan senyuman oleh penduduk kampung. Agak sukar juga untuk berkomunikasi,tapi itu bukan batu penghalang kepada kami untuk berbakti di bumi Kemboja. Program berkhatan dimulakan pada hari ini juga kerana sudah ramai yang menunggu giliran, walaupun jika mengikut jadual yang ditetapkan sebelum ini, segala aktiviti hanya akan bermula pada hari kedua. Aku dan rakan-rakan yang lain menjalankan aktiviti membuat origami bersama kanak-kanak kampung itu. Memang sangat menyeronokkan dan meletihkan, tapi yang paling penting kami semua puas melihat kegembiraan yang terpancar di wajah kanak-kanak islam Kemboja. Mula-mula tu memang susah juga nak berkomunikasi, tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Segala-galanya berjalan dengan lancar dengan bantuan orang-orang kampung yang menjadi juru bahasa kami.



Petang itu separuh daripada rombongan dari Malaysia menaiki bot bersama-sama penduduk kampung menyusuri keindahan sungai Mekong, sungai yang terpanjang di asia tenggara, merentasi tiga buah negara iaitu Kemboja, Laos dan Vietnam. Pada mulanya risau juga dengan keselamatan diri, tapi bila kemahuan mengatasi segala-galanya, apa-apa pun boleh terjadi, betul tak?? Huhuh… Rasa sangat teruja pula bila dapat naik bot. Lama jugalah kami dibawa bersiar-siar menaiki bot. Dalam perjalanan balik ke tempat kami bertolak, tiba-tiba perkara yang tak disangka berlaku. Enjin senyap tiba-tiba. Minyak sudah kehabisan! Keadaan semakin gelap, menandakan malam akan menyusur tiba tak berapa lama lagi. “Tenang! Tenang!” pujuk hatiku. “Ini semua dugaan, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya,” hatiku berkata-kata lagi. Dalam keadaan macam ni, macam-macam benda bermain di minda. “Ya Allah, aku tak mahu mati lagi, banyak lagi pahala yang aku nak kumpul.” Hatiku merintih lagi.


Salah seorang daripada kami tiba memecah kesunyian, “mari kita sama-sama mendayung!” Hampir semua yang berada di bahagian tepi bot bersedia untuk mendayung. Ada yang menggunakan tangan dan ada juga yang menggunakan kayu serpihan bot itu. Masing-masing berusaha keras untuk sampai ke tepian. Penduduk kampung yang mungkin juga tuan punya bot, meminta pertolongan daripada bot lain yang menghampiri kami, tapi malangnya bot itu hanya berlalu pergi tanpa memberi sebarang pertolongan. Akhirnya, pertolongan tiba apabila seorang penduduk kampung memberi bantuan dengan membelikan minyak bot. bila dah ada minyak, lain pula masalah yang timbul, Enjin susah untuk dihidupkan. Banyak kali diulang barulah enjin itu berfungsi seperti biasa. Hmm banyak betul dugaan, lepas satu selesai, satu masalah datang. Itulah namanya kehidupan. Hidup kita takkan boleh lari daripada masalah. Siapapun takkan boleh terlepas punye….

Dalam perjalanan pulang, azan berkumandang, menandakan telah masuk waktu maghrib di kawasan itu. Ada benda yang menarik ingin aku kongsikan. Pengalaman ini bukannya cerita ganjil atau pelik, cumanya susah untuk di lihat di perkampungan aku. Mungkin sebab aku bukan menetap di tepian sungai ataupun lautan. Kulihat samar-samar orang sedang menunaikan rukun Islam yang kedua di atas bot. Ini menunjukkan di mana jua kita berada, apapun pekerjaan kita dan betapa susah atau senang hidup kita, Allah tidak boleh kita lupakan.

Lagi satu dugaan menimpa, tak boleh pulak nak mendarat kat tempat mula-mula kita orang naik bot. Malam hampir gelap.Rasa seram sejuk pun ada, takut perkara yang tak diingini boleh terjadi. Ayat kursi aku ulang banyak kali, moga terselamat dari segala bahaya. Orang kampung itu mencadangkan agar mendarat di jeti berdekatan, dekat dengan pasar. Kami hanya ikut sahaja kemahuan mereka asalkan semua selamat tiba. Alhamdulillah, kami mendarat dengan selamat. Semua menarik nafas lega. Memang pengalaman yang sangat berharga, yang sukar untuk dilupakan. Ini baru hari yang kedua aku di Kemboja. Ada 5 hari lagi untuk aku kutip banyak pengalaman berharga di sini. Huhuu…

No comments:

Post a Comment

-saya salah? sila betulkan dengan beri komen yang bernas
-saya betul? sila bagi semangat kat saya, huhu
-saya nak tahu apa yang otak kamu sedang fikirkan :P