Kalaulah...

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Huraian:

1.Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.

2.Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.

3.Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

4.Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.

5.Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa.

6.Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.
Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

7.Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua.

combination of 'the copy & paste'

1 comment:

  1. betul 2 farah.......so jgn la ade kalau ye.....hehe.....

    ReplyDelete

-saya salah? sila betulkan dengan beri komen yang bernas
-saya betul? sila bagi semangat kat saya, huhu
-saya nak tahu apa yang otak kamu sedang fikirkan :P