PUTRAJAYA, 29 Okt. - Ujikaji lapangan bagi nyamuk jantan transgenik, iaitu nyamuk yang diubah suai secara genetik bagi mengawal populasi nyamuk aedes dijangka bermula selewat-lewatnya Disember ini.
Ketua Pengarah Jabatan Biokeselamatan, Letchumanan Ramatha berkata kelulusan ujikaji itu yang akan dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), diberi pada 5 Okt lepas dan Kabinet juga telah dimaklumkan.
"Menurut undang-undang, lembaga (Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan - LBK)mempunyai kuasa untuk membuat keputusan (meluluskan). Kami telah maklumkan kepada Kabinet dan setakat ini tidak ada bantahan," kata Letchumanan yang juga Setiausaha LBK, kepada pemberita, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, IMR juga perlu mendapatkan persetujuan daripada penduduk yang terlibat dalam kawasan ujikaji itu sebelum ia dilaksanakan melalui pihak berkuasa tempatan dan persatuan penduduk.
Beliau berkata dua lokasi dipilih untuk ujikaji itu, iaitu di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka, selepas didapati memenuhi syarat yang ditetapkan seperti mempunyai populasi nyamuk aedes yang tinggi, kawasan yang terasing serta tidak berhampiran dengan mana-mana kawasan yang dilindungi bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar.
Katanya ujikaji yang dinamakan 'Tanda-Lepas-Tangkap Semula Secara Terhad' itu dilaksanakan bagi membuat perbandingan dan penilaian terhadap kepanjangan usia dan jarak sebaran nyamuk aedes jantan yang diubah suai itu dengan nyamuk liar.
Ia juga untuk mengetahui tahap kebolehidupan nyamuk itu dalam suasana semulajadi bagi menentukan jumlah yang boleh dilepaskan untuk tujuan mengawal populasi nyamuk aedes apabila kerajaan bersetuju berbuat demikian kelak, katanya.
Letchumanan berkata dalam ujikaji yang akan mengambil masa sebulan itu, antara 4,000 dan 6,000 nyamuk transgenik akan dilepaskan sama ada secara sekali gus atau melalui dua peringkat, di kedua-dua kawasan yang berpenduduk dan yang tidak berpenduduk, dalam saiz tapak seluas lima kilometer persegi.
Pada masa yang sama katanya, jumlah yang sama bagi nyamuk liar jantan juga akan dilepaskan.
Pergerakannya akan dipantau dengan perangkap yang diletakkan bagi menangkap semula nyamuk-nyamuk tersebut, dan selepas sebulan kawasan itu akan diberikan semburan kabus bagi menghapuskan saki-baki nyamuk jika ada, katanya.
Letchumanan berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai ujikaji tersebut kerana ia melibatkan nyamuk jantan yang tidak menggigit dan menghisap darah, sekali gus tidak menyebarkan penyakit.
Lebih-lebih lagi katanya, hayat nyamuk jantan adalah lebih pendek berbanding nyamuk betina, iaitu hanya untuk tempoh beberapa hari sahaja.
Dan sila bandingkan dengan artikel di bawah mengenai pihak yang tidak bersetuju dengan program ini,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang serius tindakan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bawah Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Oxitec Ltd., syarikat bioteknologi dari Universiti Oxford, Britain yang merancangmenjalankan ujikaji untuk menggunakan nyamuk transgenik atau dikenali sebagai nyamuk kebal di Malaysia.
Mengikut perancangan, berjuta-juta nyamuk yang diubahsuai secara genetik akan dibebaskan di kawasan perkampungan nelayan Pulau Ketam, Selangor sebagai usaha antarabangsa melawan demam denggi.
Ia diikuti dengan laporan kejayaan percubaan dalam makmal yang dijalankan bawah pengawasan IMR selama beberapa tahun. Teknik ini ialah menggunakan nyamuk Aedes jantan transgenik yang membawa gen 'maut' mengawan dengan nyamuk betina.
Sekiranya ujikaji di Pulau Ketam berjaya, nyamuk pembunuh transgenik ini akan dibebaskan di bandar-bandar besar yang mencatatkan kadar demam denggi yang tinggi.
Apabila perancangan ini dilaporkan dalam akhbar tempatan, beberapa pertubuhan alam sekitar melahirkan kebimbangan akibat pembebasan nyamuk transgenik ini yang boleh memberikan kesan serta memusnahkan ekosistem.
CAP mengalu-alukan laporan bahawa rancangan ini tidak akan diteruskan tetapi masih bimbang sekiranya rancangan ini dihidupkan kembali pada masa hadapan.
Teknik dan bahaya sebenar yang akan dihadapi apabila membebaskan haiwan kebal ke persekitaran adalah sukar dan tidak jelas untuk difahami peranannya.
Terdapat gen yang memberikan sifat maut dominan dalam nyamuk jantan transgenik. Bagaimanapun, difahamkan bahawa maklumat yang dimiliki sebenarnya tidak menyatakan apa yang akan membunuh haiwan atau organisma yang disasarkan itu.
Menurut pandangan pakar, toksin maut dalam nyamuk perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum membebaskannya ke persekitaran.
Bahaya utama yang dikenal pasti dalam pelaksanaan teknik ini ialah masalah melibatkan pemindahan gen horizontol.
Pakar membuktikan bahawa dakwaan nyamuk jantan yang dibebaskan ini tidak menggigit manusia atau mamalia lain dan bersifat mesra terhadap alam sekitar adalah sama sekali tidak benar.
Pertamanya, nyamuk transgenik ini termasuk jantan dan betina perlu dihasilkan secara besar-besaran di makmal.
Dalam proses transgenik betina, yang turut membawa gen maut dominan dalam dos dua kali ganda untuk membiakkannya, perlu mengambil darah daripada haiwan makmal seperti tikus atau arnab untuk diberikan kepada nyamuk transgenik ini.
Keduanya, nyamuk jantan transgenik perlu dipisahkan daripada betina dan ini melibatkan pada tahap pulpa, apabila jantan lebih kecil daripada betina tetapi ini seratus peratus tidak tepat.
Ketiga, lebih kurang tiga hingga empat peratus transgenik anak mampu hidup sehingga dewasa.
Telah ditegaskan sebelum ini bahawa pemindahan gen horizontal dan penyatuan merupakan punca kepada kewujudan agen penyakit eksotik.
Terdapat langkah alternatif yang efektif dan bersesuaian, termasuk pengawalan secara biologi iaitu menyeimbangkan populasi nyamuk dan sebaliknya serta melihat sejauh mana penurunan jangkitan denggi dan penyakit-penyakit lain dengan menggunakan langkah alternatif seperti ekstrak tumbuhan, minyak dan larva biologi.
Di Thailand misalnya, kajian yang dijalankan ke atas bekas tadahan air yang ditemui mengandungi pulpa nyamuk Aedes. Bekas tadahan air yang besar ini termasuk di kawasan pedalaman dan bandar dijumpai mengandungi tahap pulpa nyamuk yang tinggi.
Kajian berkenaan juga menyimpulkan bahawa menutup dan membersihkan bekas tadahan air dapat mengurangkan populasi nyamuk dengan drastik.
Organisma seperti Bacillus thuringiensis israelensis dikatakan berkesan dengan efektif untuk membunuh nyamuk denggi dalam kendi atau bekas air dan langkah ini telah digunakan di Kemboja.
Di Cuba pula, kajian ke atas Aedes aegypti sebagai pengukur sosial dan alam sekitar mengesahkan bahawa wujudnya risiko tinggi disebabkan kegagalan dalam membersihkan simpanan air dan air dalam pasu bunga yang digunakan untuk amalan keagamaan.
Daripada menggunakan langkah yang menimbulkan persoalan dan berpotensi untuk mengakibatkan kesan buruk kepada masyarakat, CAP menggesa Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan untuk memfokus ke atas amalan pencegahan mudah yang boleh bertindak lebih efektif, selamat dan menjimatkan kos.
SM Mohamed Idris adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)-malaysiakini.com
Hmm yang pastinya, aku tak bersetuju dengan cadangan ni, kalau nak buat mungkin boleh, tapi biar di tempat bukan ada penduduk. Mungkin pihak berkaitan kata tidak merbahaya, tapi kita tak tahu kesan jangka panjang nyamuk ni ke atas alam persekitaran dan juga kepada manusia sejagat. Dan yang tak sedapnya, tempat nak lepaskan nyamuk tu kat kampung aku, hmm x payahla, mintak-mintak tak jadi.
No comments:
Post a Comment
-saya salah? sila betulkan dengan beri komen yang bernas
-saya betul? sila bagi semangat kat saya, huhu
-saya nak tahu apa yang otak kamu sedang fikirkan :P